Teks Pidato R5
******************************************************
KEPENTINGAN SAINS DAN TEKNOLOGI DALAM
DUNIA HARI INI
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim
yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan para hadirin yang saya
kasihi sekalian. Pada petang ini, saya akan menyampaikan sebuah
pidato yang bertajuk “Kepentingan Sains dan Teknologi dalam
dunia hari ini.”
Hadirin yang saya muliakan,
Perkembangan dunia Sains dan teknologi begitu signifikasi
dengan perkembangan dunia hari ini. Dahulu, teknologi sering
didefinisikan sebagai mesin-mesin dan jentera-jentera yang banyak
membantu tugasan manusia. Hari ini, teknologi telah menjadi
begitu kompleks dan sangat relevan dengan kehidupan kita pada
hari ini. Secara sedar atau tidak, kita telah menggunakan ciptaan
Sains dan teknologi pada setiap masa.
Oleh itu, adalah tidak menghairankan sekiranya kerajaan kita
berusaha keras melakukan proses pemindahan teknologi dari
negara-negara maju ke negara kita. Bidang Sains dan teknologi
dianggap sebagai salah satu pemangkin yang mampu
mempercepatkan rancangan kerajaan untuk membangunkan negara
menjadi negara maju.
Keadaan ini secara tidak langsung telah membantu
meningkatkan reputasi negara di mata negara-negara asing,
khususnya negara-negara maju. Apabila bidang perindustrian di
negara ini mulai berkembang dan bidang Sains dan teknologi mula
mendapat tempatnya sendiri di sini. Pelabur-pelabur asing mula
berlumba-lumba datang ke negara kita. Peluang pekerjaan semakin
banyak terbuka. Hari ini kita dapat melihat ramai di kalangan belia
tempatan yang bekerja di sektor perkilangan. Perkembangan dunia
1
Sains dan pemindahan teknologi ke negara ini telah turut
membantu usaha kerajaan untuk mengurangkan dan mengatasi
masalah pengangguran.
Hadirin yang saya hormati,
Apabila negara kita menerima banyak pelabur asing dan
menyebabkan perkembangan bidang perindustrian, kadar
pengangguran penduduk tempatan yang berkurangan sedikit
sebanyak akan menggambarkan kejayaan ekonomi negara kita.
Pada zaman yang kian moden ini, hanya negara-negara yang
memiliki kedudukan ekonomi yang kukuh mampu bersaing dengan
dunia luar.
Tambahan pula, perkembangan Sains dan teknologi juga
telah banyak membantu meringankan dan memudahkan kerja-kerja
yang memenatkan kita. Setiap ciptaan jelas telah membantu kerja
menjadi semakin mudah serta banyak masa dan tenaga dapat
dijimatkan.
Hadirin yang saya kasihi,
Dunia hari ini juga dirasakan semakin sempit. Keadaan
ini disebabkan oleh perkembangan bidang teknologi maklumat
yang cukup hebat pada masa sekarang. Medium perhubungan
tradisional seperti telefon, telegraf, dan surat dianggap telah
ketinggalan zaman. Sekarang medium perhubungan baru yang
lebih canggih telah dihasilkan seperti internet, telefon bimbit dan
komputer akan memastikan penghantaran maklumat lebih cepat,
tepat, mudah dan selamat.
Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin menegaskan
sekali lagi bahawa bidang Sains dan teknologi menjadi semakin
penting pada hari ini. Selagi manusia melakukan kerja, selagi ada
permintaan terhadap penciptaan daripada bidang tersebut, selagi
itulah kehidupan manusia dan perkembangan dunia hari ini
menjadi semakin relevan dengan bidang Sains dan teknologi.
Sekian, terima kasih.