1.
0: PENGENALAN
Dewasa ini, pendidikan merupakan perkara yang menjadi keutamaan semua pihak. Kualiti
pendidikan sering sahaja menjadi kritikan sesetengah pihak. Oleh itu, guru merupakan fokus
utama untuk memastikan kualiti pendidikan terus terpelihara. Guru adalah pendidik kepada
generasi yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan
negara pada masa hadapan. Jadi, guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, segala
tingkahlaku guru akan menjadi contoh teladan kepada murid-murid. Oleh yang demikian,
guru mestilah mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional dan sosial yang murni.
Hanya guru yang mempunyai tatasusila yang tinggi berjaya menjalankan tugas sebagai
pendidik dengan sempurna.
Sesuatu profesion yang tulen adalah sesuatu bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti
kepentingan kemahiran intelek, latihan ikhtisas yang mencukupi, khidmat yang diperlukan
oleh masyarakat dan mempunyai organisasi tersendiri untuk menguruskan soal-soal
berkaitan dengan pendidikan. (Syed Ismail Mustapa, 2014). Guru merupakan tunjang
pelaksana paling utama bagi menjayakan reformasi pendidikan selaras dengan aspirasi
Falsafah Pendidikan Negara.
Mengikut pandangan Omstein dan Miller (1980), guru diberi tanggungjawab oleh
masyarakat untuk mendidik anak-anak kearah kedewasaan, realiti ini bermaksud guru
sebagai agen sosial perlu “dibentuk” sebelum mereka dapat “membentuk” orang lain.
1
2.0: KONSEP PROFESIONALISME KEGURUAN
2.1: Definisi Profesionalisme Keguruan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), profesionalisme merupakan suatu
pekerjaan yang khusus dan dilaksanakan oleh seseorang yang mempunyai
kelulusan dan latihan ikhtisas yang berkualiti, bersikap jujur, bertanggungjawab dan
bermoral tinggi, mempunyai autonomi serta mematuhi kod etika yang ditentukan oleh
organisasinya. Manakala, keguruan diertikan sebagai perkara yang berkait dengan
guru, iaitu peranan, tugas dan kelayakan sebagai guru. Oleh itu, profesionalisme
keguruan merujuk kepada pekerjaan yang berkait dengan peranan tugas,
tanggungjawab, sifat dan kualiti guru yang membawa bersama tanggunjawab,
integriti dan akaundabiliti terhadap murid dan masyarakat.
Dalam merentasi perubahan sistem pendidikan yang kian mencabar ini,
amalan nilai dan akhlak terpuji perlu disemai dalam profesion keguruan. Penerapan
nilai murni oleh guru dalam kalangan pelajar juga penting untuk melahirkan individu
yang berguna serta mampu menyumbang kepada negara pada masa hadapan.
Di samping itu, guru berperanan sebagai sumber utama pengetahuan kepada
murid harus bertukar menjadi sumber aspirasi kepada anak murid mereka. Guru
yang kreatif dan inovatif mampu mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran
yang menarik dan efektif.
2
2.2: Elemen-Elemen Profesionalisme Keguruan dan Sumbangannya kepada
Komuniti
2.2.1: Memperolehi Latihan Yang Khusus
Sebagai guru yang professional, sudah semestinya beliau mendapat latihan
yang khusus untuk meningkatkan kemahiran dan keterampilan dalam bidang-
bidang tertentu. Hal ini demikian kerana, kemahiran dan keterampilan perlu
sentiasa diperbaharui seiring dengan perubahan yang berlaku sama ada dari
segi kandungan atau pendekatan pengajaran dan pembelajaran. Namun
begitu, perlu disedari bahawa latihan bukanlah penyelesaian kepada semua
masalah yang wujud di sekolah mahupun tempat guru bakal berkhidmat. Oleh
itu, latihan yang dirancang seharusnya benar-benar memenuhi keperluan.
Seterusnya, dalam usaha untuk meningkatkan lagi mutu pengajaran
dan pembelajaran guru hendaklah menganjurkan kelas tambahan bagi para
pelajar. Perkara ini mampu memberi lebih penekanan terhadap sesetengah
pelajar yang berkemungkinan tidak fokus dan kurang memahami apa yang
dipelajari dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Oleh yang demikian, cara ini sekaligus dapat memudahkan urusan
para guru untuk memastikan para pelajar memahami setiap ilmu yang
disampaikan oleh guru sekaligus dapat mencapai laras yang telah ditetapkan
oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada masa yang sama,
komuniti yang berilmu pengetahuan dapat dilahirkan.
3
2.2.2: Menyediakan Perkhidmatan Yang Unik
Guru yang profesional seharusnya bijak dalam mengendalikan sesi
pengajaran dan pembelajaran sewaktu di dalam bilik darjah. Seorang guru
yang bijak seharusnya menyediakan perkhidmatan yang unik kepada para
pelajar sewaktu proses menyampaikan ilmu. Hal ini mampu menarik minat
para pelajar sekaligus menaikkan lagi semangat mereka untuk menimba ilmu
dalam kehidupan mereka.
Contohnya, guru boleh memanfaatkan teknologi terkini untuk
diaplikasikan sewaktu proses pembelajaran. Sebagai tamsilnya,
persembahan video dari laman YouTube, perkongsian maklumat dari laman
sesawang dan sebagainya. Secara umumnya kita mengetahui bahawa
teknologi terkini begitu canggih yang mana dikenali sebagai dunia tanpa
sempadan. Oleh itu, hal ini secara tidak langsung dapat membantu pendidik
agar lebih mudah untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajar dengan
lebih jelas dan tepat.
Dalam pada itu, perkara ini juga membawa kepada penyelesaian
masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana,
apabila cara dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik
diaplikasikan menyebabkan mereka lebih bermotivasi untuk hadir ke sekolah
untuk menimba ilmu. Dalam masa yang sama, para pelajar merasakan
bahawa banyak perkara yang dapat diperolehi melalui pembelajaran yang
unik dan menarik ini. Oleh itu, mereka akan cuba untuk memberikan sepenuh
perhatian dan fokus ketika belajar dan lebih gembira untuk menempuhi hari-
hari persekolahan.
Namun begitu, pengawasan dan penjagaan yang terkawal oleh para
guru sangat penting ketika mana proses pengaksesan internet dijalankan. Hal
ini dapat memastikan aplikasi teknologi benar-benar mencapai matlamat yang
diinginkan dan tidak tersasar dari objektif pendidikan. Oleh itu, jelaslah
bahawa penyediaan perkhidmatan yang unik oleh para guru mampu memberi
pelbagai impak positif dan memberangsangkan dalam kalangan pelajar dan
sekaligus mampu meningkatkan sistem pendidikan di negara Malaysia.
4
2.2.3: Sikap Bertanggungjawab Dalam Melaksanakan Setiap Tugasan
Sikap seseorang memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha
membentuk keperibadian yang baik dan murni. Oleh itu, guru yang baik
semestinya mengamalkan sikap peribadi yang mulia untuk menjadi contoh
teladan yang terbaik buat anak-anak murid. Guru yang profesional
seharusnya memiliki keperibadian yang mudah disenangi oleh orang lain
terutamanya dalam kalangan organisasi pentadbiran itu sendiri.
Sesebuah pentadbiran yang cekap akan wujud apabila ahli organisasi
memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya. Perkara ini dapat
diwujudkan apabila setiap ahli mengetahui dan menyedari tanggungjawab
masing-masing dalam melaksanaan setiap tugasan. Begitulah tugas seorang
guru di mana beliau perlu menyedari tanggungjawab yang perlu digalas agar
tidak cuai dalam menjalankan sesuatu tugasan. Menjadi seorang guru yang
sempurna dari seluruh aspek bukanlah suatu tugas yang mudah, ianya perlu
kepada kesedaran yang tinggi dalam diri guru itu sendiri sejauh mana
keikhlasannya dalam menjalankan amanah sebagai seorang guru.
Oleh itu, dalam usaha untuk menjadi seorang guru yang profesional,
elemen sikap tanggungjawab dalam melaksanakan setiap tugasan perlu
ditanam dalam diri setiap para guru agar hasrat untuk melahirkan generasi
yang berguna dapat dicapai. Seterusnya, guru yang bertanggungjawab
semestinya bijak dalam menentukan sesuatu perkara dan membuat
keputusan untuk jangka masa yang panjang. Perkara ini jelas membuktikan
ketelitian seorang guru dalam menjalankan tugasan. Hal ini demikian kerana,
setiap keputusan yang dibuat pasti ada risiko yang perlu dihadapi sama ada
baik atau buruk. Oleh itu, sangat penting bagi seorang guru untuk membuat
keputusan untuk jangka masa yang panjang agar setiap perkara yang berlaku
dapat ditangani dengan baik.
Dalam konteks ini, seseorang guru yang menyedari tanggungjawab
dan amanah yang dipikul akan melaksanakan tugasannya sebaik yang
mungkin kerana itulah yang akan menentukan masa hadapan generasi kini.
Sikap tanggungjawab yang diterapkan ini juga akan membawa kepada
wujudnya sebuah organisasi yang sistematik dan cekap. Oleh itu, setiap
urusan dapat dijalankan dengan lancar dan memberikan impak yang positif
kepada masyarakat.
5
2.2.4: Memberikan Mutu Perkhidmatan Yang Berkualiti
Guru yang baik akan sentiasa berazam untuk memberikan yang terbaik
dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang dilaksanakan sama ada di
dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Hal ini mampu mewujudkan
aura positif dalam diri para guru untuk menjalankan tugasannya pada setiap
hari.
Dalam pada itu, para guru perlulah memberikan mutu perkhidmatan
yang berkualiti dalam menjalankan tugasan yang diberikan. Sebagai contoh,
guru perlu sentiasa memperbaharui pengetahuan dan kemahiran agar setiap
tugasan dapat dilaksanakan dengan cekap. Tambahan pula, pada zaman
yang dikenali sebagai dunia tanpa sempadan ini, guru hendaklah sentiasa
cuba menguasai kemahiran teknologi yang ada agar tenaga pengajar yang
kreatif dan inovatif dapat diwujudkan dalam dunia pendidikan.
Oleh itu, guru yang mampu menguasai teknologi dalam pembelajaran
dapat dilahirkan sekaligus mewujudkan suasana pembelajaran yang unik dan
menarik di bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Di samping itu, dalam
masa yang perkara ini mampu menjadikan murid-murid lebih bersemangat
untuk datang ke sekolah. Oleh itu, komuniti yang berilmu pengetahuan dapat
dilahirkan di negara kita.
6
2.2.5: Menggunakan Keupayaan Dengan Berkesan
Guru yang profesional akan berusaha untuk menggunakan keupayaan sedia
ada dengan berkesan. Sebagai contoh, guru sentiasa mengamalkan ciri-ciri
komunikasi berkesan apabila berurusan dengan pelajar mahupun komuniti
lain. Antara ciri komunikasi berkesan yang boleh diterapkan adalah
menggunakan panggilan yang baik dan sopan, menyampaikan mesej dengan
jelas, mengamalkan penggunaan bahasa yang baik dan santun serta
menjaga air muka pendengar atau penerima.
Elemen ini jelas terbukti mampu mewujudkan sebuah komunikasi
yang berkesan dan harmoni antara guru dan pihak lain. Perkara ini perlu
diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ianya mampu
mendidik murid-murid untuk lebih menjaga budi bahasa dan sentiasa
menghormati orang lain. Di samping itu, penerapan elemen ini dalam diri
setiap guru mampu mewujudkan kepercayaan masyarakat terhadap guru
sebagai penyampai maklumat yang benar dan jelas.
7
3.0: KONSEP PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
3.1: Definisi dan Konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat
Menurut Albert (2009), Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merupakan satu
proses pembelajaran seseorang secara berterusan sama ada bagi tujuan
meningkatkan kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang
pekerjaan pada masa sekarang, mahupun pada masa akan datang. PSH ini
membolehkan sesiapa sahaja menimba ilmu sepanjang hayat mereka atau selagi
ada kemampuan tersebut. PSH juga bermaksud aktiviti pelajaran dan pembelajaran
yang dilaksanakan sepanjang hayat khususnya orang dewasa. PSH dianggap
bermanfaat kepada individu kerana ia dapat membaiki kehidupan seseorang
menerusi peningkatan kemahiran kerja, pembaikan sahsiah diri dan penambahan
ilmu pengetahuan.
Konsep ini berbeza dengan kaedah atau pendekatan pembelajaran
tradisional sebelum ini yang menjadikan guru sebagai sumber kepada ilmu. Terdapat
juga sesetengah kompetensi yang tidak mampu dilatih melalui pendekatan chalk and
talk di bilik darjah, dan ini menyebabkan pelajar hanya diterapkan dengan ilmu
konsep semata-mata tanpa melalui sendiri pengalaman tersebut dalam situasi
pekerjaan sebenar. Hasilnya, pelajar menjadi kurang yakin dan akan merasa rendah
diri apabila perlu bersaing di dalam persekitaran kerja sebenar.
PSH dapat dilihat sebagai satu pendekatan yang memberi peluang
pembelajaran kepada seseorang secara berterusan di sepanjang hidupnya dengan
mod pembelajaran yang lebih fleksibel. Ia sebenarnya merentasi platform yang lebih
meluas dan menyeluruh berkaitan dengan kompetensi yang hendak diasah dan
dipelajari bagi mempersiapkan individu itu menghadapi tuntutan alam pekerjaan.
Konsep ini bukan sahaja menjadi agenda penting, malah menukar cara
berfikir masyarakat khususnya golongan muda. Oleh itu, sekolah sebagai institusi
pendidikan perlu mengorak langkah untuk mempelbagaikan pendidikan agar dapat
dinikmati oleh semua golongan dalam komuniti setempat. Bagi memenuhi tuntutan
ini, pendidik perlu terus belajar perkara baharu dan seterusnya cuba menyebarkan
ilmu kepada golongan yang pelbagai dalam komuniti setempat.
8
3.2: Ciri-Ciri Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Sumbangannya Kepada
Komuniti
Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) menekankan kepada proses pembelajaran
kendiri dan bukannya proses pengajaran. Hal ini bererti bahan-bahan dan pedagogi
yang digunakan adalah sesuai dan mesra pelajar. Selain itu, waktu belajar perlu juga
fleksibel dan kurikulumnya sesuai dengan kemajuan teknologi dan keperluan
semasa.
The World Bank (2003), menyenaraikan beberapa ciri Pembelajaran
Sepanjang Hayat. Antaranya adalah pendidik berfungsi sebagai fasilitator kepada
sumber pengetahuan, pendekatan pembelajaran adalah belajar melalui tindakan
(acting learning) atau learn by doing, pembelajaran dalam kumpulan dan antara satu
sama lain, pentaksiran dilakukan sebagai panduan pembelajaran dan menentukan
halatuju pembelajaran seterusnya, pendidik membangunkan rancangan
pembelajaran mengikut keupayaan individu, pendidik juga adalah pelajar sepanjang
hayat yang sentiasa melalui proses peningkatan profesionalisme dan latihan yang
berterusan, pembelajaran diterjemahkan dalam bentuk praktikal dan pelajar sentiasa
membuat refleksi dan menilai perkembangan kendiri.
Konsep PSH ini memberi peluang yang positif terhadap komuniti kerana
ianya boleh dilakukan sama ada secara formal seperti di sekolah, instituti pengajian
dan pusat latihan vokasional, ataupun secara tidak formal iaitu berdasarkan
pengamalan dan latihan di tempat kerja masing-masing. Selain itu, cara pendekatan
PSH ini juga boleh dipelbagaikan supaya mudah diakses oleh pelajar seperti melalui
pembelajaran ataupun kursus secara pos. Ringkasnya, PSH ialah suatu proses
pembelajaran yang berterusan bagi tujuan meningkat pengetahuan dan kemahiran
seseorang.
9
4.0: CABARAN DAN LANGKAH GURU MENGHADAPI CABARAN PENDIDIKAN
SEMASA
Sistem Pendidikan bukan sahaja sebagai wadah bagi menyampaikan ideologi kebangsaan
tetapi juga untuk pembangunan modal insan agar anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu
pengetahuan dan kepakaran yang tinggi dalam menghadapi cabaran hidup. Namun
demikian, isu pendidikan kini sering menjadi tumpuan perbincangan umum. Hal ini berpunca
dari beberapa faktor yang merupakan cabaran yang perlu dihadapi dalam pendidikan
semasa.
4.1: Integrasi Nasional
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), Integrasi Nasional bermaksud satu
proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok etnik dalam masyarakat melalui
pengenalan atau pengwujudan satu identiti yang sama.
Secara umumnya mengetahui, pelajar di sekolah Malaysia terdiri daripada
pelbagai kaum terutamanya tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu, Melayu, Cina dan
India. Namun begitu, kini telah wujudnya masalah isu integrasi nasional dalam
kalangan pelajar itu sendiri. Isu ini timbul akibat daripada tindakan kerajaan yang
dilihat sebagai diskriminasi oleh kaum-kaum lain, kurangnya sensitiviti dan toleransi
terhadap agama-agama lain, kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan
masyarakat, peningkatan kes gelaja sosial, pembangunan ekonomi yang tidak
seimbang dan peranan media massa yang mensensasikan isu perpaduan.
Dalam usaha untuk menangani isu di atas, guru sebagai pembina negara
bangsa berperanan membangunkan modal insan dan memastikan pembentukan jati
diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh
kepada agama dan nilai sejagat. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan
memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perkara
ini boleh diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah. Selain itu, guru perlu menjadikan aktiviti sukan sebagai salah satu alat
perpaduan di peringkat sekolah yang boleh mewujudkan persefahaman, semangat
kekitaan dan perpaduan diantara murid-murid sekolah. Dalam masa yang sama,
guru hendaklah menerapkan budaya sekolah yang merangkumi aktiviti seperti
menyanyikan lagu kebangsaan, lagu sekolah dan lagu patriotik secara bersama
dalam perhimpunan sekolah, membaca ikrar dalam upacara rasmi seperti hari sukan,
mengibarkan bendera kebangsaan pada setiap pagi hari persekolahan dan
melaksanakan program Minggu Bahasa Melayu peringkat sekolah. Aktiviti ini secara
10
tidak langsung dapat memupuk semangat patriotisme yang tinggi dalam jiwa para
pelajar.
4.2: Pengaruh Perkembangan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi
Pengaruh TMK melalui internet telah memberi peluang kepada pelajar untuk
mendapatkan sumber maklumat alternatif seperti perpustakaan maya selain buku
teks atau mengunjungi perpustakaan. Jika pelajar dididik untuk menggunakan
internet secara berkesan, para guru berupaya melahirkan satu genarasi yang
dinamik dan progresif kerana dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran
yang terkini.
Namun begitu, para guru berhadapan cabaran dalam mengintegrasikan
teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran yang merujuk kepada
kesediaan guru yang meliputi tiga aspek iaitu tahap kemahiran, pengetahuan dan
sikap.
Cabaran pertama adalah pengetahuan teknologi maklumat guru.
Pengetahuan serta sikap terhadap komputer adalah dipengaruhi oleh kekerapan
penggunaan komputer. Semakin kerap seseorang individu menggunakan komputer,
tahap pengetahuannya juga akan semakin meningkat. Hal ini menunjukkan bahawa
pengetahuan perlu diasah supaya ia menjadi lebih cekap. Selain itu, sikap guru
terhadap teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan antara
cabaran yang perlu dihadapi. Sikap merupakan gambaran dalaman individu yang
merujuk kepada kecenderungan untuk berkelakuan positif atau negatif terhadap
benda, situasi, institusi, konsep atau individu lain. Hal ini merujuk kepada sejauh
mana guru menerapkan TMK dalam menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan.
Antara langkah yang boleh diambil adalah sikap guru dan pelajar mestilah
positif dan bersedia untuk berubah. Selain itu, guru dan pelajar juga perlu
memanfaatkan prasarana komputer dan rangkaian komunikasi yang ada dengan
sebaiknya. Akhir sekali, hubungan interpersonal yang kuat antara guru dan pelajar
perlu diwujudkan agar setiap urusan dapat dijalankan dengan baik dan lancar.
11
4.3: Gejala Sosial
Dalam mengharungi era globalisasi ini, budaya berbudi bahasa dalam kalangan
masyarakat semakin lenyap dalam sanubari dewasa dan remaja. Berita mengenai
pelajar kini bertindak di luar batas kehidupan dan terlibat dalam aktiviti gejala sosial
seperti gengsterisme, vandalisme, kegiatan buli dan pornografi sering terpapar di
dada akhbar. Hal ini jelas membuktikan betapa parahnya masalah gejala sosial
dalam kalangan masyarakat terutama remaja.
Antara cadangan untuk mengatasi masalah ini adalah, guru berperanan
dalam memberikan didikan yang secukupnya terutama melalui pengisian dalam bilik
darjah. Sebagai contoh menerusi subjek Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan,
guru perlu memberi lebih penekanan terhadap isi kandungan yang diceritakan. Hal
ini mampu memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar.
Selain itu, guru seharusnya memupuk budaya sekolah yang mempraktikkan
sikap amanah, ketekunan, cintakan kecemerlangan, berkasih sayang, kesantunan
akhlak dan mengamalkan kehidupan beragama adalah elemen-elemen yang perlu
dihidupkan dan dihayati secara berterusan. Aspek tersebut merupakan nilai yang
seharusnya diberikan perhatian secara mendalam oleh pihak guru.
Akhir sekali, aktiviti kokurikulm seperti pakaian beruniform, persatuan, kelab
dan kegiatan sukan perlu disertakan dengan input penting kepada pembentukan
sahsiah pelajar supaya tidak hanya melahirkan pelajar yang hebat dari segi
kokurilum sahaja bahkan juga hebat dari aspek peribadi akhlaknya. Aktiviti yang
dijalankan melalui pemantauan guru akan menyuburkan sikap positif terhadap
semangat bekerjasama, berdikari, tolong menolong, semangat cinta akan negara
dan berdisiplin.
12
5.0: PENUTUP
Akhirul kalam, keguruan ialah satu jawatan professional seperti mana kerjaya-kerjaya lain
dalam masyarakat dunia. Sebagai guru yang profesional, guru perlu melaksanakan
kerjayanya dengan sepenuh hati, bersedia menanggung semua konsekuen yang sesuai
dengan nilai profesion ini. (Dr Ragbir Kaur a/p Joginder Sigh, 2007) Dr Ismail Zain, dalam
kertas kerjanya yang bertajuk ‘Pendidikan Bertaraf Dunia Kearah Pembestarian Dalam
Proses Pengajaran dan Pembelajaran menjelaskan pendidikan bertaraf dunia sebagai
wacana dalam dasar pendidikan negara yang meletakkan proses pendidikan sebagai satu
bidang yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang
berfungsi sebagai institut perkembangan ilmu.
Oleh itu, sudah menjadi kewajipan para guru untuk sentiasa menerapkan elemen-
elemen profesionalisme dalam kehidupan seharian agar Falsafah Pendidikan Guru untuk
melahirkan bakal pendidik yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik,
bersedia menjunjung aspirasi negara, serta menyanjung warisan kebudayaan negara,
menjamin perkembangan individu, dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu,
demokratik, progresif dan berdisiplin dapat dicapai.
13
RUJUKAN
Amir Nazif. (2012). Guru Yang Berkesan. Dicapai pada 18 Ogos 2017 daripada
[Link]
Ismail Zain. (2008). Pendidikan Bertaraf Dunia Ke Arah Pembestarian Dalam Proses
Dan Pembelajaran. Dicapai pada 18 Ogos 2017 daripada
[Link]
Kamus Dewan. (Ed. 4). (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysa. 2014. Education in Malaysia: A Journey to Excellence.
Educational Planning and Research Division. Putrajaya, Malaysia.
Noriati A. Rashid, et al. (2012). Falsafah & Pendidikan di Malaysia. Selangor: Oxford Fajar
Sdn. Bhd.
Ragbir Kaur a/p Joginder Singh. (2007). Panduan Ulangkaji Pendidikan Untuk KPLI
Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
Syed Ismail Mustapa & Ahmad Subki Miskon. (2014). Pengantar Pengajian Profesionalisme.
Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
14