6.
1 PENILAIAN SEMULA
Penghasilan produk yang dirancang oleh guru-guru untuk menjalankan dan melaksanakan
penilaian ke atas murid-murid sememangnya mempunyai beberapa kekuatan, kelemahan
dan juga penambahbaikan. Setiap aspek ini menjadi kayu ukur terhadap keberkesanan
sesuatu produk penilaian kepada murid-murid terutamanya dari segi aspek pencapaian
akademik mereka dalam mata pelajaran Sejarah Tahun 5. Berikut merupakan kekuatan,
kelemahan dan penambahbaikan produk tersebut.
6.1.1 Kekuatan Produk Buku Skrap dan Guru Celik
Antara kelebihan pembelajaran menggunakan buku skrap ialah mampu untuk
mengeratkan lagi hubungan antara murid dan guru. Hal ini mampu mengubah persepsi
negatif murid kepada guru dan akan memudahkan proses PdP kerana interaksi boleh
berlaku dengan mudah. Buku Skrap dan Guru Celik ini mampu untuk mengembangkan
kemahiran diri dalam mengemukakan hujah, pendapat, menyoal serta menyelesaikan
masalah. Sebagai contoh tugasan Guru Celik, setiap murid akan diberikan peluang untuk
membentangkan tugasan mereka di hadapan. Keadaan ini akan mampu membina
keyakinan diri untuk berada di hadapan dan juga mampu membina kemahiran
berkomunikasi murid-murid.
Selain itu, tugasan ini mampu memberikan ruang kepada murid-murid untuk
menggunakan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang mereka perolehi semasa di
dalam dan luar bilik darjah dengan efektif. Sebagai contoh untuk tugasan Buku Skrap,
murid-murid boleh menggunakan kreativiti mereka untuk mereka dan menghias buku skrap
mereka supaya Nampak lebih kemas dan cantik. Dengan itu, mereka mampu menggunakan
pelbagai kemahiran seperti kemahiran Seni Visual.
Seterusnya, tugasan ini mampu memupuk semangat kerjasama yang utuh dalam
kalangan murid. Hal ini sangat signifikan dengan tugasan Guru Celik kerana aktiviti
berkumpulan ini mampu untuk memupuk semangat kerjasama yang baik dalam kalangan
mereka. Hal ini demikian kerana, mereka akan memberikan pandangan masing-masing
dalam melaksanakan tugasan dan akan menghormati pandangan murid-murid yang lain.
Maka hal ini mampu memupuk semangat kekitaan yang kuat dalam kalangan mereka.
Selanjutnya, tugasan ini mampu memberikan kefahaman yang lebih mendalam
terhadap satu-satu tajuk yang dipelajari. Hal ini disebabkan pembelajaran yang interaktif,
menghiburkan dan menarik akan mampu membuat murid semakin berminat untuk
mempelajari sesuatu matapelajaran. Hal ini mampu dibuktikan apabila murid lebih mudah
mengingati sesuatu yang berupa gambar rajah atau kartun jika dibandingkan dengan teknik
hafalan atau penulisan sahaja. Maka hal ini akan memudahkan murid-murid memahami
setiap tajuk dalam pelajaran itu dengan lebih mudah dan mendalam.
Kesimpulannya, tugasan buku skrap dan guru celik ini sememangnya mendatangkan
lebih banyak kelebihan bukan sahaja kepada guru, bahkan kepada murid.