ASPEK SEKOLAH DAN PENTADBIRAN
Data menunjukkan bahawa sekolah masih kekurangan peralatan seperti mesin, alatan
tangan, dan bahan-bahan asas pembuatan yang dapat membantu pelajar menghasilkan
projek mereka. Namun begitu, kesediaan guru untuk mengikuti pelbagai kursus bagi
meningkatkan kemahiran menggunakan alat bantu mengajar adalah ditahap tinggi.
Kesediaan peralatan dan bahan bantu mengajar di bengkel RBT menjadi pemangkin kepada
kelancaran pentaksiran yang dilaksanakan oleh pelajar di sekolah. Peralatan yang
mencukupi membantu pelajar untuk menghasilkan produk yang baik. Di samping itu,
peralatan yang berteknologi terkini membantu membuka minda pelajar untuk
mengembangkan lagi idea projek masing-masing. Kesediaan bahan bantu mengajar
semasa proses pengajaran penting untuk memastikan penyampaian ilmu mata pelajaran
yang diajar lebih jelas dan tersusun agar dapat diterima oleh pelajar dengan baik. Menjadi
kelaziman bagi mata pelajaran teknikal bahawa alatan amali menjadi peranan utama
penyampaian ilmu. Maka, mata pelajaran RBT juga memerlukan kesediaan peralatan yang
mencukupi agar pelaksanaan pentaksiran dapat dijalankan dengan sempurna.
ASPEK GURU
Merujuk kepada data yang diperolehi, pengetahuan guru terhadap DSKP dan pengalaman
melaksanakan pentaksiran adalah pada tahap sederhana secara keseluruhannya. Data
menunjukkan bahawa guru amat sedar bahawa setiap bab bagi mata pelajaran ini
mempunyai pentaksiran yang perlu dilaksanakan oleh pelajar. DSKP yang menyatakan
bilangan masa dalam jam bagi setiap bab. Oleh itu, tiada perbezaan waktu di antara kelas
dalam menyiapkan pentaksiran dan projek masing-masing walaupun dari segi kognitif
pelajar adalah berbeza setiap kelas. Dalam proses menjayakan pengajaran dan
pembelajaran berdasarkan masa yang diperuntukkan, guru kerap menukar rancangan
harian bergantung kepada penguasaan pelajar. Namun begitu, berdasarkan data
pengalaman guru melaksanakan pentaksiran ini, guru mempunyai tanggapan yang berbeza
mengenai peruntukan masa seperti yang dicadangkan melalui DSKP.
Dari aspek pembangunan kemahiran dan pengetahuan guru, pihak kerajaan berwajib
perlulah menyediakan peluang untuk guru-guru berkursus agar ilmu baharu yang diperolehi
dapat membantu semasa mengajar, contohnya menyediakan sistem sokongan yang sesuai
dan mencukupi dalam membantu pelaksanaan dasar. Memandangkan bahawa RBT ini
adalah mata pelajaran baharu, maka ilmu dan kemahiran perlu dituntut oleh guru secara
berterusan. Ini penting untuk mengelakkan salah konsep atau salah tafsiran bagi sesuatu
standard pembelajaran. Perkara sebegini akan merencatkan dasar yang telah dirancang
oleh pihak kementerian.
ASPEK PELAJAR
Guru perlu mempunyai altenatif atau kaedah yang lain bagi memastikan pelaksanaan
pentaksiran dilaksanakan dengan baik oleh pelajar. Perubahan kaedah mengajar secara
konvensional perlu berubah kepada modular agar kekangan masa yang dihadapi boleh
diatasi. Guru seharusnya mempunyai kompetensi yang tinggi dalam merancang pengajaran
agar dapat mencapai objektif yang ditetapkan. Guru perlu mengkaji dari semasa ke semasa
tahap kemampuan pelajar menerima ilmu. Begitu juga kebolehan pelajar dalam proses
pembinaan produk juga perlu diukur agar ianya seiring dengan masa yang diperuntukan.
Kemahiran pelajar dalam melakar idea produk juga perlu diambil perhatian. Ini kerana
hampir setiap bab di dalam mata pelajaran RBT menghendakkan lakaran idea awal pelajar
sebelum sesebuah projek itu dibangunkan. Pelajar adalah individu yang naif dan
memerlukan sokongan serta tunjuk ajar yang berguna dari para guru. Oleh yang demikian,
latihan dari masa ke semasa perlulah diteruskan dan bukan hanya berfokus kepada
peperiksaan.
Secara keseluruhannya, penggunaan masa pembelajaran pelajar adalah berada di tahap
sederhana. Data menunjukkan bahawa bagi lima bab dalam RBT, masa untuk
melaksanakan pembinaan projek adalah tidak mencukupi. Berdasarkan analisis yang
dilakukan, pelajar hanya dapat menghasilkan projek yang memenuhi kriteria minimum
disebabkan kekangan waktu. Ini jelas dibuktikan dengan kenyataan guru bahawa projek
yang terhasil adalah bersesuaian dengan peruntukan masa yang diberikan. Oleh itu, item
yang menjurus untuk mendapatkan hasil projek yang terbaik bagi setiap bab mengikut
peruntukkan masa yang dicadangkan adalah rendah. Pelajar memerlukan masa tambahan
yang mencukupi untuk menghasilkan projek yang lebih kreatif. Secara keseluruhan, analisis
ini membuktikan peruntukan masa pembelajaran terutama untuk menghasilkan projek yang
baik adalah tidak mencukupi.