Emas & Ar-Rahnu
Oleh: Qamarul Aqramin Bin Rosli
Emas merupakan sejenis logam yang cukup sinonim dengan manusia sejak dahulu lagi.
Pelbagai urusan manusia melibatkan aspek perhiasan, simpanan, urus niaga dan yang terkini
melibatkan perubatan juga menggunakan emas sebagai medium perantara yang efektif.
Masyarakat hari ini perlu dididik dengan ilmu tentang pengurusan emas dan Ar-
Rahnu. Ini adalah kerana emas itu sendiri mempunyai nilai yang kukuh sebagai mata wang
dan ia kalis krisis ekonomi secara amnya. Emas sentiasa mempunyai nilai yang tinggi
berbanding wang yang kita gunakan dalam urusan seharian yang boleh berubah-ubah nilainya
mengikut pasaran semasa dunia.
Kepentingan emas sebagai bahan yang berharga juga ada dinyatakan dalam Al-Quran
sebagai satu perkara yang indah di mata manusia. Allah SWT telah berfirman dalam Surah
Ali Imran ayat 14 yang bermaksud:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kepada benda-benda yang
diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak
bertimbun-timbun dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan
binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan
hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya
(iaitu syurga).”
Ayat tersebut menjelaskan bahawasanya emas merupakan sesuatu yang diingini oleh
manusia secara amnya disebabkan oleh nilainya yang amat berharga dalam urusan kehidupan.
Ia digunakan sebagai barang kemas dan juga ia boleh digunakan dalam urusan jual beli
seperti mana yang pernah dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW suatu ketika dahulu.
Emas mempunyai pelbagai fungsi yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Ia boleh
dijadikan sebagai satu bentuk pelaburan, simpanan mahupun perhiasan bagi wanita yang
menyukainya. Dalam lanskap ekonomi hari ini, emas dilihat sebagai satu bentuk matawang
yang kukuh di pasaran dunia berbanding cryptocurrency (mata wang digital) dan mata wang
fiat (wang kertas) sedia ada.
Walaupun harga emas mengalami naik turun yang tidak menentu dalam pasaran,
tetapi ia jauh lebih stabil nilainya berbanding mata wang yang lain. Sebagai contoh, pada
zaman Rasulullah SAW, ibadah akikah boleh dilaksanakan dengan kos 1 dinar emas. Ia
adalah bersamaan dengan 4.25g emas dan nilainya adalah kira-kira RM 1 200.00. Nilai
seekor kambing hari ini pula adalah di antara RM 900.00 sehingga RM 1 100.00. Maka
melalui perbandingan ini jelas bahawa nilai emas suatu ketika dahulu masih stabil dan sama
dengan nilainya pada hari ini.
Maka dengan itu amat sesuai sekali untuk kita jadikan emas sebagai satu bentuk
pelaburan jangka masa panjang dan menjadikannya sebagai simpanan tetap kita. Harga emas
1g pada hari ini kelihatan agak mahal berbanding beberapa tahun yang lalu, tetapi percayalah
bahawa emas masih relevan dijadikan sebagai aset kewangan paling selamat berbanding
pelaburan yang lainnya.
Mentaliti masyarakat kita berkaitan emas masih berada di takuk lama khususnya
melibatkan pembelian emas sebagai bahan perhiasan semata-mata. Biarpun ada yang
menyimpannya dalam bentuk tersebut untuk diberikan sebagai hadiah kepada anak-anak,
namun ilmu tentang emas ini juga harus dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat agar
potensi untuk meningkatkan lagi kapasiti simpanan dan aset ini dapat ditingkatkan.
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) merupakan satu yayasan
diperbadankan di bawah kerajaan Persekutuan ditubuhkan pada 1976 sebagai usaha untuk
membangunkan sosio-ekonomi masyarakat melayu Islam dan bumiputera. Melalui yayasan
ini, banyak syarikat berkaitan pembangunan ekonomi telah diwujudkan untuk membantu
secara aktif dalam pembangunan ekonomi di Malaysia amnya.
Antara inisiatif yang telah digerakkan oleh YAPEIM adalah penubuhan Ar-Rahnu
YAPEIM dan YAPEIM Gold. Kedua-dua syarikat ini ditubuhkan bertujuan untuk memberi
pengetahuan dan berkongsi kepakaran dalam hal ehwal emas serta urusan pajak gadai yang
berlandaskan syariat Islam. Kesedaran masyarakat berkenaan produk kewangan patuh
Syariah ini semakin mendapat tempat di hati bukan semata-mata komuniti muslim bahkan
bukan muslim juga turut meyakini hal ini.
Sebelum mengulas lanjut berkenaan peranan YAPIEM dalam urusan Ar-Rahnu dan
emas, elok juga jika kita melihat kepada manfaat emas secara khusus dalam kehidupan
seharian kita secara langsung. Melalui cara ini, kita akan mempunyai pilihan lebih terbuka
dalam merancang kewangan kita dengan lebih praktikal dan selamat serta patuh syariah.
Emas boleh dijadikan sebagai satu bentuk simpanan yang cukup baik. Dengan
menyimpan sekurang-kurangnya 1g emas setiap bulan, perlahan-lahan kita telah membentuk
satu disiplin untuk membuat simpanan secara tetap selain daripada pelaburan yang lain. Jika
kita simpan selama 5 tahun secara konsisten, kita sudah ada 60g emas sebagai simpanan.
Komitmen pun tidak tinggi, emas pun dapat, simpanan pun ada.
Selain itu, emas juga boleh menjadi sumber kewangan kita melalui proses pajak gadai
seperti Ar-Rahnu. Melalui program seperti Ar-Rahnu Emas & Ar-Rahnu Biz, kita boleh
mendapatkan sumber kewangan melalui cawangan Ar-Rahnu yang berhampiran dengan
kadar yang cukup menarik di samping kadar upah simpan yang hanya 1% sahaja. Inilah
antara kebaikan menggunakan perkhidmatan di Ar-Rahnu YAPEIM.
Disebabkan oleh kepelbagaian jenis emas, ia juga boleh dijadikan asset dalam bentuk
barang kemas. Rantai tangan, cincin, gelang dan sebagainya boleh juga dijadikan sebagai
perhiasan yang sememangnya diminati oleh wanita serta dijadikan sebagai simpanan atau
aset jangka masa panjang yang sangat mudah dijaga & disimpan oleh semua pihak.
Emas juga nilainya lebih stabil berbanding wang kertas yang digunakan secara meluas
hari ini. Nilainya sedikit banyak dipengaruhi oleh permintaan dalam pasaran serta naik turun
ekonomi dunia. Namun begitu, ia masih mempunyai kadar susut nilai yang minima
berbanding harga komoditi lain.
Simpanan emas juga perlu dizakatkan. Walau bagaimanapun, harus kita sedar
bahawasanya kadar zakat emas juga sama seperti kadar zakat perniagaan dan zakat lain iaitu
pada kadar 2.5% sahaja. Penyimpan emas yang cukup haul dan nisabnya boleh menjadi
antara penyumbang zakat bagi membantu golongan asnaf yang lebih memerlukan bantuan di
luar sana. Emas kita dapat, beri sumbangan kepada orang lain pun dapat. Moga amalan kita
ini mendapat hitungan yang terbaik dari sisi Allah di akhirat kelak.
Emas boleh dikategorikan kepada beberapa jenis mengikut peratusan campurannya
dengan logam lain serta ketulenannya. Anda biasa dengan istilah karat? Karat merujuk
kepada kadar ketulenan emas dalam sesebuah produk. Ia boleh dijelaskan dalam jadual di
bawah:
Karat (Kadar Ketulenan) Peratus Kandungan Emas Nama/ Jenis Emas
24K 99.9% Emas 999
22K 91.6% Emas 916
21K 87.5% Emas 875
20K 83.3% Emas 833
18K 75.0% Emas 750
15K 62.5% Emas 625
14K 58.5% Emas 585
10K 41.7% Emas 417
9K 37.5% Emas 375
Rajah 1: Jadual Jenis Emas Mengikut Peratus Kandungan Emas & Kadar Ketulenannya (Karat)
Daripada maklumat di atas, semakin tinggi peratusan kandungan emas dan
ketulenannya, semakin tinggi nilainya di pasaran. Ia tidak akan mudah terjejas dan
dipengaruhi secara langsung oleh faktor ketidaktentuan ekonomi global. Menarik bukan?
Oleh itu, semua pihak khususnya golongan muda harus cakna akan kepentingan emas
dan Ar-Rahnu dalam usaha mengupayakan ekonomi jangka pendek, sederhana dan panjang.
Ia boleh dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat dalam bentuk perhiasan, simpanan
mahupun pelaburan yang pasti menguntungkan semua pihak. Ia juga boleh memberi kebaikan
bukan sahaja untuk diri sendiri & keluarga semata-mata, bahkan dapat membantu mereka
yang memerlukan melalui ibadah zakat yang merupakan sebahagian daripada Rukun Islam
yang lima.
Oleh itu, jangan lepaskan peluang anda hari ini untuk mula menyimpan emas.
Mulakan dengan kadar minimum 1 bulan 1g emas, insyaAllah anda pasti akan merasai
kelebihannya kelak. Selain itu, marilah bersama kita memilih produk keluaran Bumiputera
Muslim melalui YAPEIM Gold yang terdiri daripada produk yang amat berkualiti dan
menarik serta perkhidmatan pajak gadai Islam iaitu Ar-Rahnu YAPEIM sebagai satu bentuk
sokongan terhadap pembangunan ekonomi patuh syariah khususnya di Malaysia.
Bijak emas, simpan emas, ingatlah YAPIEM Gold!