Assalamu’alaikum dan selamat sejahtera para pelajar semua.
Berikut sedikit tips untuk lulus matematik tambahan 😊
Tips Lulus Kertas 1 :
1. Kertas 1 terdiri daripada 25 soalan. Setiap soalan diberi 2 – 4 markah. Nilai markah menunjukkan
panjang atau pendek langkah penyelesaian. Maka jawab mengikut nilai markah.
2. Empat bab berikut tidak pernah keluar dalam kertas 1, iaitu :
a. Penyelesaian segi tiga (tingkatan 4)
b. Nombor indeks (tingkatan 4)
c. Gerakan pada garis lurus (tingkatan 5)
d. Pengaturcaraan linear (tingkatan 5)
3. Corak soalan kertas 1 kelihatan sama saja. Soalan 1 & 2 biasanya soalan fungsi, kemudian diikuti
dengan soalan persamaan kuadratik, kemudian disusuli soalan fungsi kuadratik, soalan logaritma, soalan
janjang dan seterusnya. Soalan akhir biasa dari bab taburan kebarangkalian. Wujud corak khusus.
Manfaatkan corak soalan ini.
4. Lazimnya satu soalan keluar dari setiap bab, kecuali bab-bab berikut lazimnya lebih daripada satu
soalan :
a. Fungsi (2 – 3 soalan), lazimnya 3 soalan.
b. Fungsi kuadratik (2 soalan).
c. Indeks dan logaritma (2 – 3 soalan).
d. Pembezaan (1 – 3 soalan), lazimnya 2 soalan.
e. Janjang (2 – 3 soalan), lazimnya 3 soalan.
f. Vektor (2 soalan).
Beri penekanan kepada bab-bab di atas dalam ulangkaji kerana banyak markah di situ. Rujuk soalan-
soalan tahun lepas, buku model SPM dan soalan percubaan semasa membuat ulangkaji.
5. Jangan tinggalkan kosong. Jawab semua soalan sekalipun dengan hanya menulis/menyatakan
maklumat yang terdapat dalam soalan, umpamanya menyatakan a = 1, d = 3 atau p = 0.3, q = 0.7, n = 10.
Tinggalkan kosong confirm dapat 0, tetapi jika tulis sesuatu peluang untuk dapat markah sudah terbuka.
6. Tetap tunjukkan langkah kerja untuk setiap penyelesaian kerana sekiranya jawapan akhir salah masih
ada peluang untuk dapat markah pada langkah penyelesaian.
7. Usahakan anda mendapat sekurang-kurangnya 25/80 markah untuk kertas 1. Peluang lulus anda
cerah sekiranya mendapat markah ini.
8. Sekiranya anda mendapat 60 markah ke atas untuk kertas 1, peluang anda mendapat gred cemerlang
(A-, A atau A+) sangat cerah 😊
Tips Lulus Kertas 2 :
Untuk lulus, beri fokus kepada bab-bab berikut untuk kertas 2 :
Bahagian A :
a. Persamaan serentak :
Soalan ini 5 – 6 markah. Pastikan anda menjadikan x atau y (atau apa-apa pemboleh ubah lain yang
digunakan dalam soalan) sebagai perkara rumus. Sentiasa gunakan kaedah penggantian. Mesti
tunjukkan kaedah penyelesaian sama ada guna pemfaktoran atau rumus. Sensitif dengan kehendak
soalan. Umpamanya, sekiranya diminta menjawab kepada 3 tempat perpuluhan jawablah kepada 3
tempat perpuluhan dan guna rumus. Sekiranya soalan umum, jawab kepada 4 angka bererti. Semak
dengan menggunakan kalkulator.
b. Fungsi trigonometri :
Usahakan untuk melakar graf. Lakaran fungsi trigo sebenarnya agak mudah. Hati-hati dengan julat untuk
sudut. Jangan terkurang atau terlebih ketika melakar. Lazimnya akan diminta melakar satu lagi graf dan
biasanya graf ini adalah garis lurus. Jangan lupa menyatakan bilangan penyelesaian.
c. Bab-bab lain yang lazim keluar pada bahagian A ialah statistik, pembezaan, janjang, pengamiran dan
vektor. Kena ingat, bahagian A wajib jawab semua. Namun untuk lulus, fokus pada bab persamaan
serentak dan fungsi trigonometri.
d. Rujuk soalan-soalan tahun lepas, soalan model SPM dan soalan-soalan percubaan untuk melihat
bentuk soalan bahagian A ini.
e. Peruntukkan 1 jam untuk menjawab 6 soalan dalam bahagian A ini. Secara purata, 10 minit satu
soalan untuk bahagian A.
Bahagian B :
Beri tumpuan kepada dua bab berikut yang lazimnya keluar dalam kertas 2 :
a. Hukum linear :
Pastikan jadual diisi dengan sekurang-kurangnya 2 tempat perpuluhan. Tuliskan juga persamaan linear
yang diperoleh daripada persamaan non-linear. Maka sudah dapat 2 markah mudah. Markah yang lain
berpandukan graf yang anda lukis. Lazimnya graf garis lurus penyuaian terbaik sangat mudah dilukis.
Semak betul-betul jika ada titik yang terkeluar jauh. Ianya mungkin disebabkan anda tersalah kira atau
tersalah plot. Lazimnya ada 6 titik yang perlu diplot. Jangan ada yang tertinggal. Pastikan anda ada
menulis “Daripada graf,” untuk mencari nilai pemboleh ubah dalam soalan. Baca graf dengan teliti.
b. Taburan kebarangkalian :
Corak soalan hampir sama setiap tahun. Selalunya dibahagikan kepada dua bahagian, (a) dan (b).
Bahagian (a) selalunya taburan binomial manakala bahagian (b) lazimnya taburan normal piawai. Kita
sudah banyak membuat latihtubi bab ini.
Seperti bahagian A, peruntukkan 1 jam untuk menjawab bahagian B. Perlu ingat, anda perlu menjawab
4 daripada 5 soalan pada bahagian ini. Secara purata, 15 minit satu soalan.
Bahagian C :
Cikgu sarankan pelajar-pelajar cikgu memilih bab nombor indeks dan bab gerakan pada garis lurus. Bab
nombor indeks adalah bab yang paling mudah mendapat markah. Bab gerakan pada garis lurus pula
adalah bab yang boleh dijawab dengan pantas. Walau pun bab gerakan pada garis lurus memerlukan
kemahiran pembezaan dan pengamiran, tetapi pembezaan dan pengamiran di sana dalam bentuk yang
begitu mudah saja. Jadikan bab penyelesaian segi tiga sebagai back up. Kita juga sudah banyak membuat
latihtubi untuk ketiga-tiga bab ini.
Peruntukkan 30 minit untuk menjawab 2 soalan dari bahagian ini. Secara purata 15 minit satu soalan.
Pastikan anda meluangkan 30 minit terakhir kertas 2 anda sudah mula bahagian C. Bahagian ini adalah
bahagian yang mudah mendapat markah.
Tips Umum :
a. Jawapan hendaklah kepada 4 angka bererti kecuali soalan menyatakan yang lain.
b. Manfaatkan senarai rumus yang diberi. Sentiasa semak senarai rumus bagi memastikan anda
menggunakan rumus yang betul.
c. Gunakan kalkulator untuk menyemak jawapan seperti untuk soalan menyelesaikan persamaan
kuadratik dan soalan trigonometri.
d. Soalan trigo yang menyatakan ‘tanpa menggunakan kalkulator’, bermakna anda perlu menggunakan
sudut-sudut khas yang melibatkan sudut 30, 60 dan 45 darjah. Lukiskan segi tiga yang berkenaan untuk
mendapatkan nilai bagi sudut-sudut ini. Boleh semak jawapan menggunakan kalkulator.
e. Gunakan kalkulator yang ada fungsi untuk menyelesaikan persamaan kuadratik. Jika anda tidak ada
kalkulator ini, ikhtiarkan untuk mendapatkan sebuah sebelum peperiksaan bermula.
f. ‘Conteng’ gambar rajah dalam soalan dengan maklumat dan jawapan yang sudah diperoleh. Ini
membantu anda memahami soalan dengan lebih baik.
g. Jangan tinggalkan kosong. Tulislah sesuatu sekalipun hanya menulis maklumat dari soalan.
h. Cara terbaik membuat ulangkaji pada saat ini ialah dengan terus membuat soalan-soalan percubaan,
soalan-soalan model SPM dan soalan-soalan tahun lepas. Sekiranya anda membuat soalan-soalan tahun
lepas, dahulukan dengan soalan-soalan tahun 2008, 2009, 2010 dan 2011. Soalan-soalan model SPM
pula cukup dari sebuah penerbit sahaja dan dibuat set demi set.
i. Sentiasa berdoa minta dipermudahkanNya.