Teks ucapan GB
Program RIMUP Riang Ria Raya 2025
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Malaysia Madani,
Salam Perpaduan,
Salam Karamah Insaniah,
Salam Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Sentiasa Berkualiti dan Terus Unggul,
Salam PPD Hulu Langat Unggul Mendepani Prestasi dan
Salam SKKP Fly High.
Yang dihormati,
Tetamu-tetamu dari negara jiran, Indonesia, dan
Tetamu-tetamu dari sekolah-sekolah jemputan sekitar zon Kajang,
Yang dihormati,
Encik Mohd Fazli bin Abu Bakar,
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah
Hulu Langat
Puan Masitah binti Mustafa,
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan
Daerah Hulu Langat.
Yang dihormati,
Encik Mohd Zul Etfi Md Noh,
Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kantan Permai,
Yang dihormati barisan pentadbir sekolah, guru-guru yang berdedikasi, ibu bapa dan komuniti
yang hadir, serta anak-anak murid yang saya kasihi sekalian.
SALUTASI
Terlebih dahulu izinkan saya membuka bicara dengan serangkap pantun:
Kuih lapis di atas dulang,
Lemang pulut dibakar belia;
Perpaduan kaum asas gemilang,
Disemai mesra di Syawal mulia.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat
berkumpul pada pagi ini dalam suasana yang penuh kemeriahan dan keharmonian bagi
menjayakan Program RIMUP Riang Ria Raya sekolah kita.
Program ini bukan sahaja bertujuan meraikan kemeriahan Aidilfiri, tetapi juga sebagai
satu platform penting untuk menggalakkan kerjasama dan pembelajaran yang bersepadu di
kalangan murid-murid pelbagai bangsa dari sekolah yang berlainan di daerah Hulu Langat. Kita
juga berasa bertuah kerana pada hari ini kita menerima rakan serumpun dari Indonesia.
Kepelbagaian ini penting untuk menyemai semangat perpaduan, keharmonian, dan
saling menghormati antara satu sama lain, sejajar dengan aspirasi negara dalam membentuk
generasi harmoni dan bersatu padu yang kita junjung bersama.
Hadirin Sekalian,
Melalui Program RIMUP dan Riang Ria Raya ini, kita bukan sahaja menggalakkan
interaksi antara murid-murid pelbagai kaum dan latar belakang, tetapi juga melibatkan
penggabungan beberapa subjek dalam menghasilkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
mampu membentuk murid yang holistik dan berfikiran kritis.
Pelaksanaan aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif
dan kritis serta membina semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan murid.
Penerapan Kefahaman Melalui Rekabentuk (KMR) merupakan salah satu cara pembelajaran
merentas subjek secara tematik. Ini akan memberikan kelebihan kepada murid untuk
memahami secara lebih terperinci mengenai tema yang dipelajari. KMR ini melibatkan
pembelajaran bersepadu yang menggabungkan beberapa subjek seperti bahasa Melayu, bahasa
Inggeris, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Pendidikan Seni Visual (PSV), Matematik dan jawi.
Oleh itu, program ini diharap dapat menggalakkan pembelajaran yang menyeluruh dan menarik,
sesuai dengan pendekatan TS25 dan Modul 8 KMR.
Hadirin Sekalian,
Sebelum mengundur diri, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima
kasih kepada para ibu bapa dan komuniti yang telah menyumbang menu untuk kelas anak
masing-masing bagi meraikan program hari ini. Segala sumbangan dan jasa kalian, pihak sekolah
amat hargai dan mengharapkan agar hubungan ini akan berkekalan hingga ke akhirnya.
Terima kasih juga saya ucapkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah
memberikan banyak komitmen dan sokongan kepada sekolah dalam melaksanakan pelbagai
program yang bermanfaat kepada murid-murid termasuklah program pada hari ini. Segala jasa
dan sumbangan semua amat kami hargai.
Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada
jawatankuasa penganjur, tetamu-tetamu jemputan, guru-guru, ibu bapa, komuniti, serta semua
murid yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Semoga usaha ini menjadi contoh dan
inspirasi untuk kita terus mengadakan program-program yang menyatupadukan warga sekolah.
Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga
kita terus diberkati dan dirahmati dalam setiap usaha yang kita lakukan.
Sekian, terima kasih.