Hanif Basree dibebas dan dilepaskan
Petikan intisari penghakiman lisan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong dalam
perbicaraan kes bunuh Noritta Samsudin, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 1 Julai
2004.
Apa pun yang telah dikatakan tentang kes ini di luar mahkamah ini serta apa sudut
pun penyebarannya di media massa tidak boleh diberikan perhatian oleh mahkamah ini
dalam membuat keputusannya. Kes ini pula tidak lebih daripada kes bunuh biasa yang
memerlukan pembuktian terhadap unsur-unsur dalam kes itu seperti yang telah
ditetapkan oleh undang-undang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Di peringkat keterangan kes pendakwaan, mahkamah ini ditugaskan untuk memutuskan
sama ada pendakwaan telah berjaya mengemukakan bahawa terbuktinya satu kes prima
facie telah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi dari sini bahwa di
peringkat ini, mahkamah perlu memberi pertimbangan terperinci kepada pendakwaan.
Juga penilaian yang maksimum seharusnya diberikan kepada keterangan itu. Ini
bererti mahkamah ini diperlukan mencari penilaian terhadap setiap saksi serta apa
yang disingkapkan oleh mereka dan naratif kes pendakwaan.
Beban pendakwaan pula di peringkat ini ialah untuk menunjukkan satu cerita melalui
keterangan saksi-saksinya dan bukti-bukti lain yang boleh diterima oleh mahkamah
ini sebagai munasabah untuk memanggil tertuduh membela dirinya. Beban ini pula
bukannya bererti cerita atau versi kes pendakwaan itu perlu dibuktikan pada tahap
melampaui apa-apa keraguan munasabah.
Mahkamah tidak akan memanggil seseorang tertuduh semata-mata untuk mendengar
versinya terhadap cerita yang telah dimajukan oleh pendakwaan. Di sisi undang-
undang bukan menjadi beban bagi seseorang tertuduh mengemukakan naratifnya
terhadap apa yang berlaku. Beban pembuktian kes ditetapkan ke atas pendakwaan
sepanjang perjalanan perbicaraan di sisi undang-undang.
Mahkamah pula tidak berhak memanggil pembelaan hanya untuk memuaskan hati atau
atas dasar ingin mengetahui apakah ceritanya. Tertuduh hanya akan dipanggil
membela dirinya jika nyata terbukti satu kes prima facie terhadapnya. Itupun dia
tidak dimestikan memberi keterangan bersumpah atau berkata apa-apa pun jika itu
menjadi pilihannya.
KES PENDAKWAAN
Ingin saya menyatakan bahawa jika seseorang itu dituduh membunuh, maka pendakwaan
mestilah membuktikan yang telah berlaku satu kematian, dalam kes ini kematian
Noritta jelas terbukti dan tertuduh dengan niat membunuh telah melakukan kematian
itu.
Talian tertuduh dengan pembunuh itu hendaklah dibuktikan oleh pendakwaan.
Pembuktian ini boleh dikemukakan oleh pendakwaan. Pembuktian ini boleh dikemukakan
sama ada dengan keterangan langsung atau seperti kes ini dengan keterangan tidak
langsung dari mana boleh dibuat kesimpulan secara inferens yang tertuduhlah orang
yang telah melakukan kesalahan ini.
Kes pendakwaan bergantung semata-mata atas keterangan tidak langsung ataupun
keterangan mengikut keadaan yang berlandaskan dua faktor genting untuk membuktikan
yang tertuduh telah melakukan kesalahan ini.
Di atas keterangan tidak langsung yang bagi saya terpenting dalam kes pendakwaan
ialah:
i. Tertuduh telah dilihat bersama dengan si mati pada 1 pagi tanggal 5 Disember
2003 dan secara inferens adalah orang yang terakhir bersama si mati.
ii. Keterangan saintifik melalui analisis DNA profiling menunjukkan yang tertuduh
telah melakukan hubungan seks dengan si mati sebelum kematiannya dan ini
mengukuhkan inferens yang dialah orang yang terakhir dengan si mati.
Kedua-dua faktor ini menunjukkan peluang.
iii. Selain daripada keterangan yang menunjukkan tertuduh mempunyai peluang untuk
melakukan jenayah ini, pendakwaan juga menyatakan bahawa tertuduh bermotifkan
perasaan cemburu. Ini menunjukkan sebab jenayah itu dilakukan.
SUZAKI SUPOK DAN [Link]
Keterangan oleh Suzaki dan Thanabalan dikemukakan untuk membuktikan yang tertuduh
adalah orang yang terakhir bersama si mati. Keterangan mereka saling selaras,
menyatakan dengan yakin bahawa mereka ada nampak tertuduh dan si mati pada pukul 1
pagi, 5 Disember 2003. Keyakinan mereka ini berharmonis sehingga dapat ingat
secara terperinci pakaian kedua-dua tertuduh dan si mati serta warna pakaian
tersebut.
Pemerhatian mereka terhadap tertuduh dan si mati juga sungguh jelas sehingga juga
dapat memastikan dengan tepat waktu mereka masuk ke kondominium dan gerak geri
mereka seketika di bawah letak kereta. Bagaimanapun selepas di soal balas, maka
terbongkar cerita yang sebenarnya, iaitu dalam keterangan mereka yang sebenarnya
iaitu dalam kenyataan mereka kepada polis sebelum ditangkap pada 17 Disember tahun
lalu.
Mereka tidak pernah menyatakan yang mereka telah nampak kejadian itu. Malah
apabila disoal siasat oleh polis pada awal pagi itu sendiri, tidak lama selepas
mayat ditemui, kedua-dua saksi ini tidak pun memberitahu pihak polis akan apa yang
mereka telah nampak.
Thanabalan menyatakan yang dia tidak nampak tertuduh dan si mati awal pagi itu.
Kesimpulan itu amat penting bagi saya dan tidak mungkin polis yang menyoal mereka
tidak bertanya daripada mereka sama ada nampak si mati pada malam itu.
Hanya selepas mereka ditangkap dan setelah disoal bertubi-tubi dengan gambar
tertuduh ditunjukkan barulah terlintas dalam ingatan mereka akan peristiwa di pagi
5 Disember 2003 itu.
Itupun dalam keadaan tertekan apabila Thanabalan sendiri berkata yang pada mulanya
dia tidak kenal tertuduh dalam gambar itu dan selepas lima atau enam kali diminta
ingatkan semula baru diakui yang dia kenal tertuduh.
Sebelum itu Thanabalan dan Suzaki telah berkata mereka telah nampak tertuduh
sebanyak 20 ke 30 kali atau lima atau enam kali seminggu datang ke kondominium itu
dengan si mati dalam dua bulan sebelum tarikh kejadian. Alangkah anehnya
Thanabalan tidak dapat mengenali tertuduh dalam gambar itu.
Thanabalan akhirnya membuat pengakuan yang mengejutkan apabila dia berkata yang
dia telah berdusta kepada polis dalam kedua-dua statementnya yang terdahulu di
mana dia telah berkata yang dia tidak nampak tertuduh dan si mati pada pagi itu.
Suzaki pula menjelaskan yang fikirannya bercelaru pada mulanya dan setelah dapat
merenung kembali di rumah pengawal keselamatan dari 5 hingga 17 Disember baru dia
dapat ingat kembali kejadian pada pagi itu.
Bagi saya penjelasan ini amat tidak meyakinkan dan seharusnya saya tidak menerima
apa sahaja yang dikatakan itu.
Isu penting ini menjadi cabaran hangat pembelaan dan sudah tentu boleh merakamkan
percakapan mereka yang awal itu untuk menjelaskan apa yang telah ditanya kepada
saksi-saksi itu.
Akan tetapi ASP Mohan dan Cif Inspektor Nachimutu yang merakam percakapan Suzaki
dan Thanabalan pada malam kejadian tidak dipanggil memberi keterangan.
Mahkamah ini memutuskan bahawa kedua-dua saksi ini telah tidak berterus terang
dalam keterangan mereka. Setelah melihat cara mereka memberi keterangan mahkamah
ini memutuskan yang cerita mereka atas isu genting ini amat meragukan dan
seharusnya ditolak sebagai keterangan yang tidak selamat disandarkan sebagai fakta
kes.
DNA PROFILING/POST MORTEM
Daripada analisis DNA beberapa fakta boleh disimpulkan:
i. Tertuduh telah melakukan hubungan seks dengan si mati 72 jam sebelum mayat
dibedah siasat.
ii. DNA profil seorang lelaki yang tidak dikenali terdapat di beberapa barang yang
diambil daripada bilik si mati umpamanya bantal peluk, wayar elektrik yang
digunakan untuk mengikat tangan si mati, kuku si mati dan beberapa helai rambut
ditemui dari cadar tilam si mati. Ini membuktikan bahawa lelaki ini telah berada
bersama si mati sebelum kematiannya. Oleh sebab tiada pula bulu tertuduh
diperolehi daripada cadar si mati, ini pula boleh memberi inferens yang lelaki itu
adalah orang yang terakhir berada di atas tilam si mati.
iii. Lelaki yang tidak dikenali itu juga telah melakukan hubungan seks melalui
faraj dan lubang dubur si mati dalam masa 72 jam sebelum kematian si mati. Dr.
Halim juga berkata ada robekan di dubur si mati dan kesan darah juga dilihat di
dubur itu. Kesan ini adalah kesan baru (kurang daripada 72 jam). Profil DNA lelaki
tidak dikenali ini juga diperoleh daripada dubur si mati. Hal ini pula mengesahkan
hujah pendakwaan yang jenayah ini telah dilakukan oleh seseorang yang dikenali
oleh si mati.
iv. Profil DNA si mati dan seorang perempuan lain yang tidak dikenali telah
ditemui daripada sebahagian tuala muka yang terkeluar daripada mulut si mati.
Daripada P16B pula hanya profil DNA si mati diperoleh selepas analisis. Pada
pendapat mahkamah tuala ini telah menyebabkan tersekatnya saluran Oksigen dan
pernafasan si mati dan mengikut keterangan Dr. Halim boleh menyebabkan kematian
secara `asphyxial' .
Pendakwaan telah berhujah bahawa tertuduhlah yang telah melemaskan si mati dengan
tuala muka ini sebab dia adalah orang terakhir melakukan hubungan seks. Saya tidak
dapat menerima hujah ini. Keterangan menunjukkan yang tuala P16 itu telah
terkeluar sendiri daripada mulut si mati apabila badannya dialih. Keterangan
saintifik juga menyatakan yang jika tuala sebegini disumbat ke dalam mulut,
sehingga menyekat saluran pernafasan dan setelah rigor mortis berlaku selepas
kematian, tidak mungkin tuala ini akan terkeluar dengan senang.
Kehadiran profil DNA tertuduh di atas tuala ini pula boleh memberi inferens yang
ia pernah digunakan oleh tertuduh. Ini tidak menghairankan sebab tertuduh memang
berada bersama si mati di dalam biliknya sekurang-kurangnya dua kali seminggu
mengikut keterangan Nor Azora Abdul Hamid.
Tambahan pula ada profil DNA perempuan lain menunjukkan tuala muka digunakan oleh
orang lain selain si mati.
v. Profil DNA lapan helai tisu yang dijumpai dalam bakul sampah di dalam bilik si
mati menunjukkan kesan air mani tertuduh. Ahli kimia, Lim Kong Boon menyatakan
telah melakukan satu ujian simple dan menentukan jika tiga titik air mani berada
di situ sama ada ia akan kering selepas satu jam.
Bagaimanapun tidak pula dilakukan experiment bagi lapan helai tisu dalam keadaan
sama iaitu tergumpal dan yang basah seperti itu, sama ada ia akan kekal basah bagi
jangkamasa yang lebih lama.
Tidak ada bukti yang menunjukkan jika gumpalan tisu yang basah seperti P29 masih
kekal basah selepas jangka masa itu.
Dengan lain perkataan, ujian simple yang dilakukan oleh Lim itu tidak boleh
membawa kepada kesimpulan yang tertuduh adalah orang terakhir melakukan seks
dengan si mati.
Kesimpulan mahkamah ini terdapat kedua-dua utas keterangan tidak langsung ini sama
ada tersendiri atau digabung dengan bukti lain yang dihujahkan oleh pendakwaan
boleh dipertimbangkan sebagai circumstantial evidences tidak menyakinkan mahkamah
ini bahawa keterangan pendakwaan mencukupi untuk membawa kepada apa yang dikatakan
oleh prinsip mantap sebagai ``irresistible inference that the accused is guilty of
this offence''.
JIKA TERBUKTI YANG TERTUDUH ADALAH ORANG TERAKHIR DENGAN SI MATI. APAKAH MOTIF
PEMBUNUHAN?
Perlu diingatkan bahawa tertuduh dan si mati telah menjalinkan perhubungan yang
intim. Malah pada pagi itu sendiri mereka dilihat berkelakuan sebagai kekasih dan
sebelum itu tertuduh pergi ke rumah si mati sebanyak 5 ke 6 kali, 20 ke 30 kali
dalam dua bulan.
Masanya antara pukul 1 dan 2 pagi dan kebiasaannya tertuduh akan berada bersama si
mati selama satu jam. Tidak silap jika mahkamah ini membuat andaian yang
perhubungan mereka adalah intim berdasarkan keterangan itu.
Malah ini juga kes pendakwaan, tertuduh juga teman lelaki istimewa si mati
sehingga gambar tertuduh sedang memandu disimpan dalam telefon bimbit si mati dan
dia sendiri menunjukkan kepada ibu saudaranya sendiri.
Jadi masih timbul persoalan genting: sebab apa tertuduh hendak membunuh kekasihnya
itu?.
Kata pendakwaan disebabkan cemburu. Untuk membuktikan perasaan cemburu ini,
pendakwaan telah mengemukakan keterangan Lim Sin Kean Childs.
Keterangan ini bagi saya membawa kepada kesimpulan bahawa dia cuma seorang kawan
yang amat rapat dengan si mati. Perhubungan mereka mirip kepada hubungan
profesional.
Perhubungan antara Kean dan si mati pula banyak tertumpu kepada kerja masing-
masing. Kean hanya berjumpa si mati pada waktu siang dan hanya ke rumah si mati
sekali sahaja itupun dalam kehadiran si mati.
Kean juga pernah membawa si mati, ibu dan adiknya ke Singapura.
Bagi saya keterangan pendakwaan sendiri menunjukkan yang persahabatan Kean dan si
mati tidak ada unsur seksual, perhubungan platonik. Walaupun telah dicuba
dikatakan oleh pembela yang Kean pernah melakukan hubungan seks.
Dalam tempoh yang sama, semasa persahabatan terjalin di antara si mati dengan
tertuduh, kemudiannya dan mereka kekal dengan perhubungan intim mereka. Saya tidak
nampak dalam keadaan itu boleh timbulnya perasaan cemburu tertuduh. Tiada ada
sebab bagi tertuduh merasa cemburu dengan Kean dalam persahabatan biasanya dengan
si mati.
Pada pendapat saya, motif cemburu ini tinggal satu teori yang langsung tidak
dibuktikan dan tanpa motif itu terbukti persoalan penting kenapa tertuduh perlu
membunuh dalam keadaan di mana perhubungan mereka masih mesra, intim malah menjadi
satu tanda tanya yang tidak terjawab. Dan bagi pembuktian pembunuhan berlandaskan
circumstantial evidence. Pembuktian motif menjadi satu keperluan untuk menguatkan
kes pendakwaan.
LELAKI MISTERI
Bagi saya bukan seorang lelaki misteri tetapi dua orang.
Apa yang terbukti hasil analisis DNA ini ialah kesan air mani lelaki misteri ini
dikesan daripada faraj dan dubur si mati.
Apa yang terbukti hasil analisis ialah lelaki misteri ini telah melakukan seks
dengan si mati.
Bukti yang sama juga telah ditunjukkan terhadap tertuduh dengan timbulnya profil
DNA melalui kesan air mani yang diperolehi daripada badan si mati.
Tetapi itu sahaja. Ia tidak bererti inferens boleh dibuat yang sama ada lelaki
misteri ini atau tertuduh telah membunuh si mati. Dan seperti yang telah
dihujahkan dengan tepat ini adalah kes bunuh, bukan hanya sekadar membuktikan
perhubungan seksual.
Urusan mahkamah ialah untuk meneliti keterangan yang menunjukkan satu pembunuhan
telah berlaku dan dilakukan oleh tertuduh. Perlakuan seks ini sahaja walaupun
telah banyak dihebohkan tidak langsung dalam keadaan yang telah ditunjukkan
memudaratkan kedudukan tertuduh dari segi pertuduhan ini.
Lelaki misteri kedua ialah orang yang berkulit gelap seperti India dan badannya
berbau busuk yang telah berada dalam rumah si mati dan dilihat oleh Nor Azora
sejurus sebelum mayat ditemui pada 4 pagi 5 Disember lalu.
Jelas daripada keterangan Nor Azora sendiri bahawa lelaki ini bukan tertuduh yang
bukan asing kepada Nor Azora dan mudah dikenali oleh Nor Azora jika bertembung.
Bagi saya lelaki misteri kedua ini lebih genting. Kesannya dalam kes ini dan
kehadirannya di tempat kejadian itu perlu ditinjau dengan serius oleh mahkamah
ini.
Kehadiran kedua-dua lelaki misteri di tempat kejadian jenayah ini seperti yang
telah dibongkar oleh pendakwaan sendiri bagi saya telah mengaburkan kes pendakwaan
itu sendiri.
Dengan terdapatnya pelbagai tanda tanya terhadap mereka ini, terutama lelaki
misteri ini yang dilihat oleh Nor Azora keluar dari rumah si mati itu, maka
pendakwaan telah dicemari dengan keraguan di peringkat penentuan prima facie ini.
Persoalan yang mahkamah ini boleh tanya ialah: bolehkah tertuduh disabitkan dengan
kesalahan ini, jika dia dipanggil untuk pembelaannya dan lantas dihukum mati,
walaupun timbul keraguan tentang kemungkinan penglibatan lelaki misteri ini dalam
jenayah ini? Jawapnya tidak.
Mengikut ujian maksimum yang perlu diberikan terhadap kesemua keterangan yang
dibentangkan ini oleh pendakwaan, saya akan gagal menjalankan kewajipan jika tidak
mengambil kira semua keraguan yang telah ditimbulkan oleh saksi.
Jika berlaku keadaan di mana keterangan saksi pendakwaan sendiri menimbulkan
keraguan terhadap kesannya seperti yang telah berlaku dalam kes ini, mahkamah akan
tanpa ragu-ragu membebaskan tertuduh dalam pertuduhan ini tanpa dipanggil membela
dirinya.
Inilah yang dimaksudkan oleh prinsip undang-undang berkenaan penilaian keterangan
di tahap maksimum seperti yang telah diungkapkan oleh hakim-hakim terdahulu dalam
kes iaitu jika keterangan yang tidak mencukupi untuk disabitkan tertuduh maka
tidak terbukti kes prima facie terhadapnya.
Telah juga diputuskan bahawa ungkapan `to warrant a conviction' bermaksud satu
ungkapan yang kuat, kena dan berbentuk satu perintah kepada mahkamah supaya benar-
benar berpuas hati dengan keterangan setakat ini yang membolehkan satu sabitan
dijatuhkan, walaupun di peringkat penghujung kes pendakwaan.
Kekaburan kes pendakwaan atas alasan yang telah saya nyatakan tadi terus menjadi
gelap dengan adanya keterangan dua saksi bebas ini yang juga merupakan rakan
serumah mangsa.
Apabila sampai ke rumah, mereka berkata ada menghidu bau badan tetapi Nor Azora
sendiri mengakui tertuduh tidak mempunyai bau badan sebegitu.
Keterangan ini langsung mematahkan kes pendakwaan dan menimbulkan keraguan di
peringkat ini.
Pendakwaan kata tertuduh mungkin berbau akibat aktiviti seks dan langkah-langkah
yang dilakukan sebelum membunuh si mati ditolak sebagai andaian semata-mata
seperti juga saya menolak cadangan yang tidak berasas pihak pembela yang
kemungkinan pihak pendakwaan tidak melengkapi siasatan dalam kes ini kerana ingin
melindungi seseorang orang kenamaan yang terlibat dalam jenayah ini. Hujah-hujah
yang tidak berlandaskan fakta kes seharusnya ditolak oleh mahkamah ini.
Hujah saya mustahil jika Nor Azora tidak mengenali lelaki misteri itu sebagai
tertuduh memandangkan tertuduh ialah orang yang biasa dengan Nor Azora dan dia
berkata boleh dikenali pada bila-bila masa.
Walaupun rumah gelap, ia tidak gelap gelita sehingga tidak langsung ada pandangan.
Kesimpulan yang mahkamah boleh buat keterangan bahawa Nor Azora tidak nampak
lelaki itu yang bukan tertuduh lari dari rumahnya dan yang dia fikirkan telah
membunuh si mati.
Juga diingatkan bahawa pada awal penyiasatan, polis mencari suspek yang
deskripsinya tidak sama dengan tertuduh.
Siapa suspek ini tidak pula dijelaskan oleh pendakwaan dan pegawai penyiasat kes
ini.
Suspek itu pula adalah seorang lelaki berbadan gelap. Hal ini pula menimbulkan
tanda tanya dan menggandakan keraguan kepada pendakwaan.
Hasil daripada kesimpulan saya berlandaskan fakta kes dan inferens munasabah
setelah memberi penilaian maksimum kepada kes pendakwaan, mahkamah ini memutuskan
bahawa kes prima facie terhadap tertuduh tidak terbukti. Oleh itu mahkamah ini
memutuskan agar tertuduh tidak dipanggil untuk membela dirinya. Hanif Basree awak
dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan ini.