Faktor-faktor kedatangan pendatang asing di negara kita
Isu pendatang asing bukanlah satu perkara baru di negara kita.
Kebanjiran pendatang asing semakin meningkat dari hari ke hari
dan menjadi satu masalah kepada negara. Pekerja asing
kebanyakannya datang dari negara yang mempunyai masalah
dalaman seperti Indonesia, Filipina, Bangladesh, India,
Myanmar, Vietnam, dan yang terbaru dari China.
Berdasarkan statistik sehingga 30 Jun 2007 yang dikeluarkan
Jabatan Imigresen, jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta.
Jumlah itu tidak termasuk lebih 400,000 pendatang asing yang
dipercayai memasuki negara ini secara haram serta hampir
10,000 tahanan di depoh imigresen.
Pertambahan pekerja asing dijangka meningkat secara mendadak
berikutan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sepanjang
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Statistik unjuran kadar
pertambahan penduduk menunjukkan menjelang 2009 pekerja asing
di negara ini akan melebihi dua juta orang berbanding penduduk
negara ini dijangka meningkat unjuran kepada 28.306 juta.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar,
berkata pertambahan pekerja asing memang tidak dapat
dielakkan, terutama dalam RMK-9 yang memerlukan lebih 1.2 juta
pekerja baru bagi memastikan semua sektor dapat digerakkan
dengan lancar.
Antara faktor pekerja asing lebih berminat dengan negara
kita ialah kemakmuran dan kestabilan ekonominya. Kekurangan
tenaga kerja tempatan juga membuka peluang kepada penduduk
negara- negara luar untuk mencari rezeki di sini. Walau apa
pun ramai penduduk tempatan berpendapat bahawa masalah pekerja
asing ini perlu dikawal agar ia tidak menjadi lebih serius.
Walau apa jua pendapat masyarakat tentang isu ini, kedatangan
pekerja asing ini tetap ada keburukan dan kebaikannya.
Terpulanglah kepada polisi kerajaan sama ada ingin kebaikan
atau menghadapi masalah dengan isu ini. Untuk mencapai yang
terbaik, kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi
ekonomi, politik, dan sosial agar kedatangan pandatang asing
ini dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.